Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Kali terakhir saya mengemaskini blog ini, adalah dua tahun lepas. Bukannya apa, saya rasa hanya cerita dan pengalaman yang benar - benar menarik dan indah sahaja yang saya bergitu teruja untuk menukilkannya. Kalau anda perasan, pos terakhir yang saya buat sebelum ini mengisahkan perjalanan pulang saya ke Malaysia dari Perancis dan pada ketika itu, saya dimurahkan rezeki bertemu imam - imam muda Gaza. Itulah namanya ketentuan Allah. Walaupun sepanjang perjalanan itu, saya melalui berbagai - bagai rintangan termasuklah pihak lapangan terbang Paris yang tercicir beg galas saya.
Ok, kali ni saya nak kongsi pula kisah percutian saya di Bordeaux, bandar di barat daya Perancis.
Kali pertama berjalan - jalan di bandar ni, memang saya sangat teruja dengan infrastruktur bangunan di sini. Bangunan dia memang besar - besar berbanding bandar - bandar lain di Perancis.
Setiap kali saya berjalan, ia mengimbau kembali kenangan - kenangan silam. Suatu kawasan itu mengingatkan kembali kepada bandar Kordoba, Sepanyol yang mana bangunannya berwarna kuning emas dan besar. Manakala ada juga yang mengingatkan kepada Granada, juga di Sepanyol ketika mana jalan di kawasan bandar itu kecil dan sempit.
Dipendekkan cerita, kisah bermula ketika saya dan seorang kawan ingin mencari sedikit - sebanyak info pelancongan di bandar ini malangnya, pejabat pelancongan itu pula tutup. Hujan pula mula turun dengan lebatnya (bukan seperti di Malaysia kerana istilah lebat di sini tidak selebat di Malaysia).
Kami berlari menuju ke hentian tram terdekat. Memang ramai sedang menunggu untuk pulang menuju ke destinasi masing - masing. Kami menanti tram dan beberapa minit kemudian, Asyraf, rakan saya tadi berkata pada saya.
"Li, cuba tengok mamat sebelah ni," sambil tangan di dalam poket menahan kesejukan.
Saya melihatnya dan sedikit teruja kerana lelaki tersebut sedang membaca al - Quran tafsir. Bajunya separa jubah ibarat baju orang Afganistan sambil kepalanya diletakkannya sehelai kain seperti serban. Wajahnya separa kelihatan dengan lilitan kain tersebut, yang saya sangkakan untuk menahan sejuk. Maka hanya sepasang mata sahaja yang kelihatan.
Saya kemudian duduk di sebelahnya dan mula menyapa.
"Assalamualaikum akhi," lalu kuhulur tangan bersalam. Biasanya setiap kali seorang muslim saya tegur, akan saya sebut perkataan "akhi" yang bermaksud saudaraku/abangku dan ini sebenarnya perkataan dari bahasa arab.
Dia menoleh dan dari raut matanya dapat saya rasakan dia sedang tersenyum dan teruja melihat muslim dari benua asia.
Namun, saya masih kehairanan kerana dia seolah - olah tidak faham perkataan tersebut. Lalu saya ulang kembali tetapi kali ini saya menyebut dalam bahasa perancis. Lantas dia kelihatan lebih teruja lalu dibukanya lilitan dikepalanya.
Kini hanya ada sebuah topi hijau di atas kepalanya.
Ya, memang saya terperanjat apabila melihat seorang lelaki Eropah, bermata hijau berambut perang sedang berada di hadapan saya. Bukannya apa, di Perancis ni, majoriti orang islam berbangsa arab jadi memang sukar nak jumpa islam dari bangsa lain. Indahnya ciptaan Allah supaya kita dapat saling mengenali antara satu sama lain.
"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku - suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti." QS [49:13]
Rupa - rupanya dia nak pergi ke Masjid untuk solat Maghrib.
Siapa sangka percutian kali ni memang menyeronokkan lagi - lagi dapat jumpa masjid di bandar besar.
Masjid Bordeaux |
suasana dalam masjid sementara menunggu masuk waktu isyak |
ok, sampai di sini sahaja dulu untuk kali ni. insyaallah akan saya sambung di masa akan datang. Sekian,